Program Jejak Asnaf MAIPk Daerah Seri Iskandar

Seri Iskandar, 3 November 2016 â Kasih ibu membawa ke syurga, Puan Patimah binti Mohd Rasid, seorang warga emas gigih dan tekun menjaga anaknya, Shahrudin yang mengalami masalah kesihatan usus. Beliau turut mengambil tanggungjawab menjaga dua orang cucu lelaki beliau yang masih kecil. Hasil dari ziarah MAIPk ke kediaman beliau di Kampung Talang Batin, Parit, pihak MAIPk telah meluluskan bantuan segera dan kewangan bulanan kepada keluarga ini selain daripada bantuan bekalan susu kesihatan untuk Encik Shahruddin. Pihak MAIPk juga akan membiayai kos pembedahan kanta mata Puan Patimah.

Ziarah kemudian diteruskan ke Titi Gantung, Bota untuk menziarahi dan menyantuni Puan Ajor binti Kadir. Beliau yang tinggal bersama anak tunggal beliau yang masih belajar mempunyai masalah kesihatan yang agak serius. Hasil dari ziarah ini pihak MAIPk telah menghulurkan bantuan dari segi membiayai sewa bulanan rumah beliau selain dari menyelesaikan tunggakan bil utiliti dan sewa rumah beliau. Pihak MAIPk juga telah meluluskan bantuan bulanan kepada keluarga ini.

Encik Shaferi bin Pandak Samat, seorang warga emas yang tinggal bersama keluarga beliau di pinggir sungai Perak di Kampung Padang Changkat, Bota. Mempunyai pendapatan yang tidak tetap hasil dari jualan sayur-sayuran dan menjalankan perternakan ayam secara kecil-kecilan. Sebuah rumah uzur yang tiada bekalan utiliti asas seperti air dan elektrik dan pondok kecil menjadi tempat perlindungan keluarga ini. Pihak MAIPk kemudian telah menyantuni keluarga ini dengan meluluskan bantuan segera dan kewangan bulanan selain dari akan membina sebuah rumah untuk keluarga ini.

Program Jejak Asnaf MAIPk Daerah Seri Iskandar diteruskan ke Rancangan Perumahan Awam Changkat Sodang untuk menziarahi Puan Aishah binti Mortaza. Beliau mempunyai seorang anak yang mengalami masalah jantung berlubang. Hasil dari ziarah ini pihak MAIPk telah menyumbang bantuan segera selain akan membantu keluarga ini dari segi kewangan untuk membiayai kos perubatan anak Puan Aisyah.













.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.