• Utama
  • Info
  • Berita MAIPk
  • Ziarah Mahabbah Masyarakat Orang Asli Sg. Chiong, Tasik Banding Gerik

Ziarah Mahabbah Masyarakat Orang Asli Sg. Chiong, Tasik Banding Gerik

Gerik : Bertempat di Perkampungan Orang Asli Sungai Chiong RPS Banun, satu program yang dinamakan “Ziarah Mahabbah” telah diadakan  selama 2 hari 1 malam pada 20 dan 21 Julai 2018 yang lalu. Ziarah yang dianjurkan oleh MAIPk daerah Gerik ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr. Amiruddin Bin Muhamed dan disertai oleh lebih kurang 35 kakitangan MAIPk dari seluruh Negeri Perak.

            Peserta berkumpul di Jeti Awam Royal Belum sebelum bergerak menaiki 5 buah bot penumpang pada jam 4.00 petang dan dibawa ke POS Sg. Chiong sejauh 45 minit perjalanan bot. Peserta ziarah disambut oleh Penghulu Orang Asli kampung tersebut dan menempatkan semua peserta ziarah di dalam sebuah dewan orang ramai sebagai tempat penginapan. Pada petang hari yang sama, satu perlawanan bolasepak diadakan antara Chiong FC menentang MAIPk FC dan pada sebelah malam pula, satu acara pertandingan nyanyian ketuhanan telah diadakan dan seramai 10 peserta yang terdiri dari peserta solo dan berkumpulan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Untuk keesokan harinya, pertandingan memasak Masakan Tradisional Asli telah diadakan dan seramai 15 peserta wanita mengambil bahagian. Program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara masyarakat orang asli dan juga pihak MAIPk. Masyarakat Orang Asli ini telah didakwah oleh para Mubaligh yang dilantik oleh pihak MAIPk dan MAIPk juga perlu menjaga kebajikan mereka sebagai saudara baru dalam Islam. Sudah pasti mereka ini juga mempunyai hak di dalam ketentuan agihan zakat. Selain itu, pendekatan ziarah ini adalah untuk meraikan mereka supaya saling mengenali dan mewujudkan persaudaraan dalam Islam tidak tertumpu kepada satu kaum dan bangsa sahaja. Islam merupakan persaudaraan bagi semua manusia di dunia ini. Sepanjang 2 hari tersebut, KPE MAIPk telah meninjau berberapa keperluan penduduk pulau tersebut dan telah meluluskan 2 buah bot penumpang berkapasiti 10 orang sebagai kemudahan masyarakat di situ untuk keluar ke pekan Gerik bagi tujuan keperluan harian mereka.

Selain itu, sebuah rumah baru diluluskan kepada satu keluarga yang rumahnya begitu daif sekali. Bagi penutup program ini, sumbangan wang tunai sebanyak RM200 dan keperluan barangan dapur telah disampaikan kepada 80 keluarga. Peserta ziarah telah diberi layanan yang begitu baik dari Masyarakat Orang Asli Sg. Chiong dan mereka begitu menghargai kunjungan dari pihak MAIPk. Keseluruhannya, program kali ini amat meriah dan menambahkan keakraban antara MAIPk dan masyarakat. Program selesai pada jam 2.00 petang dan menaiki bot pulang ke Jeti Awam Royal Belum sebelum semua peserta bergerak pulang ke destinasi masing-masing.












.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.