• Utama
  • Info
  • Berita MAIPk
  • Program Dermasiswa Luar Negara MAIPk – “Revolusi Asnaf ke Menara Gading”

Program Dermasiswa Luar Negara MAIPk – “Revolusi Asnaf ke Menara Gading”

Ipoh, 5 Mac 2019 – Bertempat di Hotel Seri Malaysia, Ipoh telah berlangsungnya Program Dermasiswa Luar Negara MAIPk – “Revolusi Asnaf ke Menara Gading” (ReAsMeGa). Program yang bermula pada 4 Mac 2019 dan diakhiri pada 5 Mac 2019 itu adalah bertujuan bagi memberikan taklimat mengenai persediaan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Mesir. Seramai 76 pelajar yang layak menyertai program ini, mereka terdiri daripada 38 Pelajar Tajaan MAIPk dan 38 lagi Pelajar Bantuan Am. Selain taklimat, para pelajar juga turut diberikan motivasi dari A.F. ustaz Munawir bin Mohamed Noh selaku mantan Atase Pendidikan Mesir Perak. Sudah tentu banyak yang telah dikongsi oleh A.F. Ustaz Munawir melalui pengalamannya selama menjadi Atase Pendidikan Mesir Perak.

Kemuncak program diisi oleh A.F. Ustaz Bakri bin Lee yang juga merupakan Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk dengan memberi sedikit taklimat dan juga motivasi kepada para pelajar untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh dan mematuhi segala peraturan sepanjang pengajian. Penerangan demi penerangan telah diberi untuk membuat para pelajar lebih yakin dan faham apa tujuan sebenar mereka melanjutkan pelajaran jauh di negara orang adalah semata-mata untuk mencapai kejayaan serta dapat membalas segala jasa ibu bapa masing-masing.

Program yang berlangsung selama 2 hari 1 malam ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Puan Hajah Wan Maizura binti Haji Wan Zahari selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk untuk merasmikan majlis penutup Program Dermasiswa Luar Negara MAIPk – “Revolusi Asnaf ke Menara Gading” (ReAsMeGa). Ucapan dan kata-kata semangat juga telah disampaikan oleh Puan Hajah Wan Maizura binti Haji Wan Zahari kepada semua pelajar agar menjadi bekalan dan peringatan kepada mereka apabila sudah sampai di tempat pengajian nanti.












.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.