Pelajar Terima Biasiswa MAIPk

IPOH, Khamis Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengadakan Majlis Penyampaian Biasiswa Pelajaran Baitulmal 2012 pada 08 November 2011 di Auditorium, Kompleks Islam Darul Ridzuan. Biasiswa ini diberikan kepada 50 orang pelajar sekolah menengah tingkatan 1 yang dipilih daripada seluruh sekolah menengah di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Para pelajar telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak MAIPk. Pelajar yang terpilih akan menerima biasiswa berjumlah RM1,000.00 setahun dan segala butiran perbelanjaan akan dikawal selia oleh guru pelajar sekolah berkenaan. Biasiswa ini diberikan sehingga pelajar tersebut selesai belajar di peringkat sekolah menengah.

Ini merupakan kali pertama MAIPk melaksanakan skim biasiswa yang merupakan bantuan tahunan kepada para pelajar sekolah. Para pelajar yang terpilih untuk menerima biasiswa ini akan dipantau daripada segi prestasi akademik, sahsiah diri serta penglibatan kokurikulum mereka oleh pihak MAIPk dengan kerjasama guru-guru pelajar sekolah berkenaan.

Antara jemputan yang hadir pada majlis ini ialah Tuan Haji Mohamad Bin Yahya, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah, Pegawai-Pegawai Baitulmal Daerah, pengetua-pengetua sekolah, guru-guru pengiring, ibu bapa serta para pelajar yang diraikan. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, YBhg. Dato Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan merasmikan majlis ini serta menyampaikan cek biasiswa MAIPk kepada semua pelajar yang terpilih.

.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.