• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Wakaf
  • Titah Tuanku Sempena PelancaranWakaf Perak Ar-Ridzuan

Titah Tuanku Sempena Pelancaran Wakaf Perak Ar-Ridzuan


TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI ALMARHUM
SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH AL-MAGHFUR-LAH
PELANCARAN DANA WAQAF PERAK AR-RIDZUAN
TARIKH: 29 JAMADIL AKHIR 1437 / 7 APRIL 2016 (KHAMIS)
JAM: 10.00 PAGI
TEMPAT: DEWAN BANKUET,
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN, IPOH

Salam sejahtera.

Enakmen Wakaf (Perak) telah diluluskan oleh Dewan Negeri Perak pada 23 November 2015 dan mula berkuat kuasa pada 15 Februari 2016. Enakmen Wakaf ini telah digubal merangkumi kesemua aspek pengurusan wakaf berlandaskan syariat dan turut merangkumkan ijtihad ulama berkaitan pentadbiran dan pembangunan harta wakaf.
  1. Dari segi syarak, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta pada jalan Allah untuk diberikan manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai milik pemberi wakaf. Wakaf juga bermaksud menahan sesuatu harta seseorang untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Harta yang diwakafkan hendaklah berada dalam keadaan baik, kekal dan tujuan seseorang itu berwakaf adalah untuk melakukan kebajikan kepada orang lain dalam usaha mahu mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu Wataala.
  1. Menurut pandangan sesetengah ulama, adalah menjadi kewajipan Kerajaan untuk menyediakan institusi berserta kakitangan yang amanah dan berdedikasi serta menjiwai tanggungjawab syarak dalam pengurusan wakaf.[1] Institusi wakaf merupakan al-Nazir rasmi bagi pihak kerajaan dan juga para pewakaf. Al-Nazir ialah gelaran khusus yang telah diperkenalkan untuk tugas-tugas pengurusan wakaf pada zaman Sahabat, khususnya pada era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab Radiallahuanhu. Selain gelaran al-Nazir, ia juga turut dikenali sebagai al-Mutawalli , al-Mudir, al-Wali dan amil al-waqf. Gelaran ini diberikan kepada mereka yang diberikan tanggungjawab khusus untuk mengurus, menjaga, menyelia, membaik pulih, membangun, mengagih dan melaksanakan segala bentuk kerja dan usaha yang mampu mengekalkan sumber harta wakaf dan meningkatkan penghasilan manfaatnya kepada penerima.[2] Antara tugas lain al-Nazir ialah memenuhi tuntutan dan syarat yang ditetapkan oleh pewakaf dengan menguruskan sebaik mungkin harta yang telah diwakafkan selari dengan syarak dan maslahah.
  1. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dipertanggung jawabkan sebagai entiti pengurusan dalam urusan wakaf di Negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak diberi mandat secara syarie (agama), siyasi (pentadbiran) dan qadaie (perundangan) untuk menguruskan hal ehwal wakaf. Pembangunan harta wakaf bersifat menyeluruh, merangkumi pelbagai cabang kehidupan menyentuh pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kebajikan ummah. Justeru itu, amanah ini menuntut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak menguruskan wakaf dengan pendekatan urus tadbir bersandarkan roh Islam, berpohon kepada sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas dan telus. Juga sifat yang menginsafi akan akauntabiliti lebih tinggi, bukan sekadar kepada institusi dan ummah, tetapi lebih daripada itu, berpegang kepada konsep iman dan takwa terhadap Allah Subhanahu Wataala.[3]

  1. Wakaf adalah amalan yang memberikan manfaat dan pahala yang dijanjikan mengalir secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wataala selaras dengan Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

Apabila mati seseorang anak Adam (manusia) maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sadaqah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh yang mendoakan kebaikan ibu bapanya. [4]

  1. Amatlah silap sekiranya manusia beranggapan bahawa pemberian wakaf akan mengakibatkan berlakunya pengurangan terhadap harta mereka. Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 268, Allah Subhanahu Wataala berfirman:

Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untuk mu ampunan daripada Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas kurnia Nya lagi Maha Mengetahui. [5]

Peringatan Allah Subhanahu Wataala dalam ayat 92 Surah Ali Imran bermaksud :

Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian dari harta yang paling kamu sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan daripada sesuatu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui [6]
  1. Menurut Anas bin Malik, Abu Talhah telah meminta penjelasan lanjut daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam tentang maksud ayat tersebut.[7] Baginda menjelaskan bahawa antara sedekah harta yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah wakaf. Sebaik sahaja Abu Talhah mendengar penerangan tersebut, beliau telah mewakafkan kebun kesayangannya, Bayruha untuk tujuan kebajikan.[8]
  1. Setiap rezeki, harta dan kekayaan adalah kurniaan daripada ILAHI dan turut menjadi ujian daripada ILAHI akan cara anugerah tersebut digunakan. Manusia wajib yakin bahawa amalan berwakaf adalah satu tabungan kekal yang begitu besar manfaatnya untuk kehidupan manusia lain, dan diganjari oleh Allah Subhanahu Wataala tanpa ada tempoh masa. Sewajarnya manusia berlumba untuk berwakaf dan wakaf hendaklah dijadikan salah satu saluran yang dapat menghampirkan diri manusia untuk mendapatkan kasih sayang dan reda Ilahi.

  1. Sesungguhnya wakaf ialah instrumen yang berperanan menggabungkan elemen rohaniah dan kebendaan serta dapat berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan ummah. Semangat wakaf yang mengalir dalam jiwa para anbia, sahabat, ulama, dan umat Islam terdahulu wajib dijadikan ikutan. Saidina Umar Radiallahuanhu telah menyerahkan tanahnya yang subur di Khaibar, Abu Talhah menafkahkan harta tercintanya dan Masjid Quba serta Masjid Nabawi dibangunkan di atas tanah yang diwakafkan. Amalan wakaf telah berjaya merapatkan hubungan manusia dengan Penciptanya serta mengimarahkan hubungan manusia sesama manusia, hablumminallah hablumminannas.
  1. Ketika Kaum Muhajirin di Madinah dilanda kelaparan, satu-satunya sumber air yang tinggal adalah milik orang Yahudi. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda:
"Wahai Sahabat Ku, siapa saja di antara kalian yang ingin menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan perigi itu, lalu menyumbangkannya untuk umat, maka akan mendapat syurga Allah Taala" [9]

  1. Maka terdetik niat dalam hati Utsman bin Affan Radiallahuanhu, untuk menyahut perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Akhirnya atas keyakinan, kebijaksanaan dan keikhlasan Utsman, perigi Raumah dimiliki sepenuhnya. Perigi tersebut diwakafkan dan memberi manfaat bukan sahaja kepada seluruh umat Islam tetapi kaum Yahudi tidak didiskriminasikan untuk turut mendapat manfaat daripadanya.
  1. Aset wakaf yang mulanya hanya sebuah perigi sebagai sumber air kepada kabilah dan para pedagang, telah turut menyuburkan tanah di kawasan sekitar yang membolehkan hidup subur pohon-pohon tamar; hasil daripada pohon-pohon tamar yang banyak lagi berkualiti turut diwakafkan sehingga mampu mencipta pembangunan yang lebih besar di Kota Madinah.
  1. Sirah ini wajib dijadikan pedoman akan keberkatan amalan berwakaf. Kelestarian perlaksanaan wakaf memerlukan rangkuman peranan pelbagai pihak; bermula dengan peranan seorang insan yang mewakafkan hartanya, disusuli dengan peranan penting pengurus wakaf menyusun strategi pembangunan secara bijaksana dan peranan seluruh umat Islam untuk menjaga dan berganding bahu membangunkan harta wakaf supaya ia kekal dimanfaatkan selama-lamanya.
  1. Allah Subhanahu Wataala mengurniakan ummah dengan pelbagai rezeki melalui pelbagai cara. Rezeki yang dikurniakan oleh ILAHI adalah untuk seluruh ummah dan wajib diagihkan di kalangan ummah secara adil secara saksama. Kegagalan mengagihkan rezeki secara adil - secara saksama merupakan salah satu sebab kepada berlakunya kemiskinan. Hari ini, jurang miskin kaya, dilaporkan semakin lebar. Laporan OXFAM yang dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di Davos, menunjukkan trend, bahawa satu peratus daripada penduduk dunia memiliki kekayaan yang semakin menyamai kombinasi kekayaan baki sembilan puluh sembilan peratus penduduk dunia. Laporan tersebut turut menunjukkan dalam tempoh masa antara tahun 2010 ke tahun 2015, kekayaan 62 orang terkaya di dunia meningkat lima ratus bilion dolar, mencecah nilai 1.76 trilion dolar; sedangkan milik dan nilai harta lima puluh peratus penduduk termiskin di dunia telah menurun empat puluh satu peratus (41%) lebih rendah.
  1. Pada tahun 2010, jumlah nilai harta 50 peratus penduduk termiskin dunia, menyamai jumlah nilai harta 385 orang terkaya di dunia; dan pada tahun 2014, jumlah nilai harta lapan puluh (80) orang individu terkaya di dunia telah dapat mengatasi jumlah nilai harta 50 peratus penduduk termiskin dunia. Kumpulan miskin terus menghadapi keperitan dan tekanan hidup. Dilaporkan, pada masa ini, seorang daripada sembilan orang penduduk dunia, setiap malam melelapkan mata untuk tidur dalam keadaan lapar. Trend ketidakseimbangan agihan kekayaan ini semakin melebarkan jarak antara yang kaya dengan yang miskin; kemiskinan serta tekanan kemiskinan adalah antara faktor yang mempengaruhi kepada tercetusnya pelbagai konflik dan krisis di serata dunia.
  1. Antara punca yang dikenal pasti telah menyebabkan berlakunya jurang agihan kekayaan yang semakin melebar ini, ialah sifat tamak mahu mengaut keuntungan hingga ke tahap bersedia melakukan pelbagai manipulasi dengan tujuan mahu mengelakkan diri daripada memenuhi tanggung jawab kewangan dan tanggung jawab sosial terhadap masyarakat dan negara. Para peniaga dan syarikat multi-nasional yang memperoleh keuntungan besar, dilaporkan memerah tenaga pekerja bergaji rendah, melakukan pelbagai helah untuk mengelak daripada membayar cukai dengan menyorokkan keuntungan sebenar syarikat di luar negara.
  1. OXFAM menganggarkan sejumlah 7.6 trilion dolar disimpan dalam akaun luar negara (offshore) semata-mata atas niat mahu melarikan diri daripada membayar cukai. Perkiraan menunjukkan, sekurang-kurangnya 190 bilion dolar cukai, telah tidak dibayar kepada kerajaan masing-masing. Tiga puluh peratus kekayaan kewangan di negara-negara Afrika dilaporkan disimpan dalam akaun-akaun di luar negara, melibatkan kehilangan cukai berjumlah 14 bilion dolar; jumlah tersebut cukup untuk membiayai program kesihatan ibu dan anak, berupaya menyelamatkan nyawa empat juta kanak-kanak setiap tahun dan berupaya membayar gaji guru untuk membolehkan setiap kanak-kanak di Afrika berpeluang ke sekolah. Laporan OXFAM turut mencatatkan setiap tahun syarikat multi-nasional telah mengelakkan daripada membayar cukai di negara-negara sedang membangun bernilai 100 bilion ringgit.
  2. Usaha mengagihkan kekayaan secara adil secara saksama wajib dirintis untuk memastikan berlakunya keadilan dan nasib insan miskin terbela. Wakaf merupakan satu mekanisme yang membolehkan pengagihan ekonomi secara adil lagi saksama, direalisasikan. Pada era kegemilangan Islam, wakaf terbukti digunakan secara efektif untuk memenuhi keperluan hidup masyarakat.[10] Wakaf bukan sahaja memenuhi peranan sebagai mekanisme pengagihan kekayaan secara adil secara saksama, tetapi turut berperanan memperkukuhkan keupayaan individu dan keupayaan masyarakat yang memerlukan bantuan. Kemuncak kehebatan amalan wakaf dicapai pada zaman Khilafah Uthmaniyyah yang disimpulkan seperti berikut:
Seseorang dilahirkan dalam rumah yang diwakafkan, tidur dalam buaian yang diwakafkan, membaca buku-buku yang diwakafkan, mengajar dalam sekolah yang diwakafkan, menerima gaji daripada pentadbiran wakaf dan akhirnya apabila ia mati, urusan jenazahnya adalah atas pentadbiran wakaf dan ia dikuburkan dalam tanah perkuburan wakaf[11]
  1. Konsep wakaf kemudiannya telah diadaptasi oleh masyarakat Barat dengan menjenamakan wakaf dalam bentuk yayasan, trust dan Hari ini salah satu instrumen kewangan yang berperanan penting membiayai program kebanyakan universiti ternama dunia ialah endowment. Universiti-universiti Oxford, Cambridge, Harvard, Stanford, Princeton, adalah antara universiti yang dibangunkan dan berkembang melalui sumber endowment dan mempunyai dana yang kukuh. Nilai endowment yang dimiliki oleh Universiti Harvard berjumlah tiga puluh tujuh perpuluhan enam (37.6) bilion dolar,[12] dengan pulangan pelaburan pada kadar dua belas peratus (12%) setahun, Universiti Yale memiliki endowment bernilai dua puluh empat bilion dolar, Universiti Stanford memiliki endowment bernilai dua puluh satu perpuluhan lima (21.5) bilion dolar sementara Princeton University memiliki endowment bernilai dua puluh satu bilion (21) dolar[13]. Di United Kingdom University of Cambridge memiliki endowment bernilai lima perpuluhan sembilan (5.9) bilion pound sterling sementara University of Oxford memiliki endowment bernilai empat perpuluhan tiga bilion (4.3) pound sterling[14].
  2. Nyatalah endowment yang berakarkan konsep wakaf yang diubahsuai, telah disuntik dengan pelbagai inovasi dan penambahbaikan. Hari ini endowment bukan sahaja berjaya dikembangkan malah berperanan sebagai penjana untuk menyuntikkan tenaga melonjakkan ranking universiti-universiti tersohor di dunia. Malangnya, wakaf yang bermula dan berakar di bumi dan di negara Islam, bukan sahaja terbantut pertumbuhannya malah ada yang telah tertimbus, dan ada pula yang mula menjadi liabiliti kepada para pewaris seperti yang disuarakan oleh Mufti Mesir, Profesor Dr. Ali Gomah pada tahun 2012:
Petikan:

Hal ehwal wakaf di Mesir akhir kurun kesembilan belas hingga awal kurun kedua puluh, telah diabaikan hingga kedudukan wakaf itu lemah, malah menjadi beban kepada Azhar[15]
  1. Di negara ini, wakaf sebagai instrumen kewangan bukanlah subjek asing. Wakaf adalah sumber yang telah membiayai pembangunan institusi-institusi pendidikan tradisi seperti pondok, madrasah, sekolah agama, surau dan masjid. Namun wakaf yang telah memiliki asas dan menunjukkan kejayaan awal, kemudiannya bukan sahaja gagal berkembang malah ia terus menguncup, disebabkan faktor pengurusan yang lemah dan kurang profesional untuk menghadapi senario ekonomi dan perniagaan yang lebih dinamik dan mencabar. Alhamdulillah, kini telah berlaku satu kesedaran, satu kebangkitan, satu kelahiran semula, satu renaisans terhadap instrumen-instrumen kewangan Islam.
  1. Kini Enakmen Wakaf (Perak) telah diluluskan dan telah dikuatkuasakan. Mandat pengurusan telah diberi. Pewakaf telah tampil menghulurkan wakaf. Usaha mendapatkan lebih ramai pewakaf terus dirintis. Beta menzahirkan penghargaan kepada Maybank Islamic, yang merupakan institusi terawal yang memperuntukkan sumbangan Wakaf Pembangunan Asrama KUISAS bernilai sepuluh juta ringgit. Yang lebih penting dan amat wajib diberikan keutamaan, ialah kejayaan mengurus dana wakaf secara meyakinkan dan secara produktif. Tenaga insan yang diamanahkan untuk mengurus dana wakaf wajiblah dipilih dari kalangan profesional yang berwawasan, berpengetahuan, dinamik dan kompeten, serta memiliki sifat-sifat amanah, jujur, telus dan ikhlas.

  1. Struktur organisasi yang mengendalikan dana ini tidak wajar terlalu sarat dengan tenaga pengurusan yang sekadar memiliki pengetahuan dan pengalaman pengurusan secara umum; di sebaliknya dana wakaf, wajib diurus oleh pasukan pengurusan yang menguasai kemahiran - memiliki pengalaman dalam tata urus kewangan, pelaburan dan pembangunan hartanah untuk membolehkan dana dan harta wakaf berdaya produktif dan berkembang maju.
  1. Semoga seluruh ummah tampil ke hadapan untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan menjayakan dana Waqaf Perak Ar-Ridzuan, baik secara material, perkhidmatan, pemikiran, tenaga dan masa agar wakaf dapat berperanan efektif untuk membangunkan taraf sosioekonomi ummah. Semoga setiap perencanaan Waqaf Perak Ar-Ridzuan ini akan dapat memenuhi hasrat amal jariah setiap pewakaf dan semoga segala usaha dari setiap pihak beroleh ganjaran serta rahmat Ilahi.
  1. YA RAZZAQ![16] YA SYAKUR![17] YA BAR![18] YA MUGHNI![19], gandakan rahmat dan rezeki Mu kepada para hamba-Mu yang telah mewakafkan harta kesayangan mereka, berkati rezeki mereka dan rezeki anggota keluarga mereka, sediakan mereka sebaik-baik tempat ketika mereka berada di alam barzakh, mudahkan timbangan mereka di Padang Mahsyar dan tempatkan mereka di syurga Jannah; Amin YA RABUL ALAMIN. Dengan kebesaran dan keberkatan kalimah , Beta melancarkan dana Waqaf Perak Ar-Ridzuan.

[1] Monzer Kahf, 2006, Al-Waqaf Al Islamy: Tatawwarahu, Idratuhu, Tanmiyatahu (2006), Beirout, Dar Al Fikir, diterjemahkan oleh Muhammad Subari bin Ramli dan Marliana binti Abdullah, Penentuan Kadar ujrah al- nazir dalam Pengurusan Wakaf, International Research Management and Innovation Conference 2014 (IRMIC 2014) KL, 17 18 November 2014

[2] Ibid.

[3] Raja Nazrin Shah, Titah Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan 14 Februari 2012

[4] Hadith Riwayat Muslim (1631)

[5] Al Quran, Al Baqarah (2:268)

[6] Surah Ali Imran Ayat 92

[7] Mohamad Zawawi Abu Hassan: Wakaf: Peranan dan Cabaran, SINAR HARIAN, 31.12.2013.

[8] Ibid

[9] Hadith Riwayat Muslim

[10] Najibah Mustaffa, Mohd Zamro bin Muda/UMRAN-International Journal of Islamic and Civilizational Studies Vol.1 No.1 (2014) pp 45-57

[11] Razali Othman, The Influences of Colonisation on the Perception and Practices of Wakaf, Jurnal IKIM, (Kuala Lumpur: IKIM, 2005).

[12] Nilai pada 30.6.2015

[13] Nilai pada 31.12. 2014

[14] Nilai pada 31.12. 2014

[15] Mufti Mesir, Profesor Dr. Ali Gomah, Kertas Kerja Seminar Wakaf Menjana Ekonomi, Putrajaya, 16 Julai 2012.

[16] Maha Pemberi Rezeki

[17] Maha Pembalas Budi

[18] Maha Penderma

[19] Maha Pemberi Kecukupan/Kekayaan

.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.