Pegawai MAIPk Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak

PENGKALAN HULU, Khamis Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434H Peringkat Negeri Perak telah diadakan pada 15 November 2012 di Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah. YBhg. Dato' Sheikh Mohamah Nor bin Mansor, Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) telah dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1434H. D.Y.M.M. Pemangku Raja Perak telah berkenan untuk menyampaikan anugerah tersebut kepada Dato' Sheikh Mohamah Nor bin Mansor.

Penerima anugerah ini menerima plak penghargaan, sijil penghargaan, dua tiket bagi mengerjakan umrah dan wang tunai sebanyak RM10,000.00. Beliau ketika ditemui berkata bahawa pemilihannya merupakan satu kejayaan dalam gerakan dan pertubuhan Islam di negeri ini.

"Saya amat gembira dengan pemilihan ini dan berharap anugerah ini akan menjadi motivasi kepada saya untuk lebih tekun menjalankan kerja-kerja dalam kerajaan dan juga pertubuhan Islam."

Selain menjawat sebagai Pegawai Agama MAIPk, beliau juga aktif dalam pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. Antara jawatan yang disandangnya kini ialah Ahli Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak, Yang Dipertua Persekutuan Seruan Islam Perak, Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia Negeri Perak, Pengerusi Yayasan Ad-Din Negeri Perak dan Pengerusi Koperasi Masjid Negeri Perak Berhad (KOMAS).

.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.