Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Al-Kurauwi, Batu Kurau.

Batu Kurau, Rabu - Bertempat di Masjid Al-Kurauwi, Batu Kurau pada 21 November 2012, jam 8.45 malam telah berlangsung Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Tema forum tersebut bertajuk Mukmin Yang Berjaya. Ianya telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak Daerah Taiping dan Unit Dakwah dan Promosi, Bahagian Zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Kurauwi, Batu Kurau. Ahli panel ialah Dato Sheikh Mohamah Nor bin Mansor dan Ustaz Munawir bin Salehuddin yang kedua-duanya merupakan tokoh yang dihormati. Moderator pula ialah Ustaz Munawir bin Mohamed Noh dari Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak. Seramai lebih kurang 200 orang telah hadir ke majlis forum tersebut. Intipati ceramah daripada Ahli Panel iaitu Dato Sheikh Mohamah Nor bin Mansor menjelaskan bahawa, beliau mengingatkan supaya jangan jadikan ibu bapa sebagai golongan asnaf. Beliau menyeru supaya anak-anak jangan mengabaikan tanggungjawab sebagai anak. Pada zaman kini terdapat anak-anak yang tanpa segan silu memohon bantuan wang zakat untuk ibu bapa mereka walaupun telah menjadi tanggungjawab setiap anak untuk membuat kebaikan kepada ibu bapa mereka. Beliau juga menerangkan tentang agihan wang zakat seperti bantuan bina rumah dan bantuan persekolahan. Peranan penerima zakat juga mesti menyimpan tekad dan azam bahawa mereka tidak akan menjadi penerima zakat selama-lamanya. Jika tidak, kemiskinan akan tetap kekal. Dato Sheikh Mohamah Nor juga menjelaskan tentang kaedah had kifayah untuk menentukan tahap kemiskinan isi rumah. Keperluan seseorang berbeza mengikut lokasi tempat tinggal.
 
Intipati ceramah daripada Ustaz Munawir bin Salehuddin menjelaskan demi untuk memperolehi keberkatan, amalan berzakat perlu diperbanyakkan. Amalan berzakat mampu mewujudkan peluang ekonomi ke arah mewujudkan komuniti Islam yang hebat. Ianya juga mampu untuk membasmi kemiskinan dan kemaksiatan. Ustaz Munawir bin Mohamed Noh selaku moderator merumuskan bahawa punca memperolehi keberkatan seperti solat, berzakat ibarat membubuh baja pada pokok dimana berzakat akan memberikan kesuburan kepada harta dan akan terus berkembang dengan cara yang halal. Pada akhir majlis, Yang Berhormat Dato Kapten (B) Najmuddin bin Elias, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Kurau telah menyampaikan cenderahati kepada kedua-dua ahli panel serta moderator. Forum Perdana Hal Ehwal Islam ini merupakan salah satu daripada program dan aktiviti MAIPk Daerah Taiping dengan kerjasama Unit Dakwah dan Promosi, Bahagian Zakat, MAIPk dalam memberikan kesedaran dan kefahaman berzakat kepada orang ramai terutamanya masyarakat Islam setempat.

.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.