Maklumat tular kelirukan masyarakat



K
ERAJAAN Perak kesal dengan beberapa maklumat tidak tepat yang tular di media sosial terutama Facebook (FB) baru-baru ini hingga mengelirukan masyarakat dan mengundang pelbagai komen negatif.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tinjauan pihaknya di media sosial mendapati berlaku kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam mengenai dua isu yang dimuatnaik oleh dua individu.

Beliau berkata, isu pertama adalah sistem pembayaran parkir secara atas talian menggunakan aplikasi Park@Perak di seluruh Perak yang mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu.

Antara rungutan yang sering ditimbulkan adalah ketiadaan telefon pintar, kemampuan penggunaan teknologi yang rendah oleh golongan tertentu khususnya warga emas serta capaian Internet terhad di kawasan tertentu.

Isu ini mendapat komen negatif di kalangan netizen susulan status yang dimuatnaik dalam satu laman blog mendakwa tiada lagi kupon parkir di Perak yang ditularkan, katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya ingin menjelaskan, aplikasi itu hanyalah satu alternatif bagi memberi kemudahan kepada pengguna dan penggunaan kupon tidak dihentikan.

Ciri-ciri kebaikan sistem ini antaranya tidak perlu tercari-cari kedai menjual kupon, tidak perlu ke kereta untuk membuat bayaran tambahan, menjimatkan masa serta mengurangkan penggunaan kertas yang tentunya mendatangkan kesan lebih baik terhadap alam sekitar.

Kerajaan negeri komited melaksanakan pembaharuan bagi memberi kemudahan kepada rakyat namun dalam masa sama tetap mengambil kira tahap kesesuaian dan kesannya kepada rakyat secara menyeluruh, katanya.

Ahmad Faizal berkata, bagi isu kedua pula adalah mengenai dakwaan kesukaran memohon Skim Bantuan Persekolahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk tahun 2019.

Untuk makluman, penerima bantuan sedia ada (terima bantuan sekolah 2018) tidak perlu mengisi borang bantuan kerana kini MAIPk sudah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk urusan pengagihan bantuan supaya lebih cepat dan selaras.

Bagi permohonan baru khasnya kepada pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1, borang permohonan boleh didapati di kaunter agihan Baitulmal terdekat mulai esok dan borang perlu dihantar ke MAIPk tidak lewat 31 Januari ini, katanya.

Beliau berkata, semakan kelayakan berdasarkan pengesahan pihak sekolah akan dibuat bagi memastikan anak asnaf, fakir dan miskin tidak tercicir dari skim bantuan itu di mana bantuan itu adalah khusus untuk golongan berkenaan.

Pihak MAIPk sudah memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan untuk perbincangan dan individu itu mengakui bukan dari golongan asnaf serta memuatnaik status berkenaan berdasarkan maklumat tidak sahih tanpa mendapatkan penjelasan lanjut, katanya.










.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.