Mangsa Kebakaran Terima Bantuan

PARIT, Sabtu - Kegembiraan jelas terpancar di wajah Encik Muhammad Nur Hariri Bin Hasan, seorang peniaga sayur yang menerima bantuan rumah baharu setelah rumah lamanya telah hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sebelum ini. Untuk makluman, penerima bantuan juga merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) yang hanya menggunakan basikal roda tiga sebagai kenderaan untuk berniaga.

Usaha itu menerusi Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Negara Kejiranan Indah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak dan dibina oleh 30 anggota bomba dan penyelamat dari seluruh negeri Perak.

Rumah baharu bernilai RM32,000 itu dibina ditapak asal yang terbakar di Kampung Tanjung Medan, Layang-Layang Kiri, Parit, Perak baru baru ini.

Sebagai tanda penghargaan, kesemua 30 orang anggota bomba dan penyelamat dari seluruh negeri Perak yang terlibat secara langsung dalam pembinaan rumah ini dianugerahkan sijil penghargaan. Selain itu, upacara penanaman pokok juga turut dijalankan sebagai simbolik kepada penerimaan rumah baharu kepada penerima bantuan terbabit.

Majlis penyerahan kunci rumah baharu telah dilakukan oleh Ketua Setiausaha KPK,T Datuk Arpah Abdul Razak kepada Muhammad Nur Hariri di Parit, semalam. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negara, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.


.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.