• Utama
  • Info
  • Berita MAIPk
  • Seminar Kecemerlangan Pendidikan UPSR 2016 Wakaf Ilmu- Program MUMTAZ, Waqaf Perak Ar-Ridzuan

Seminar Kecemerlangan Pendidikan UPSR 2016 Wakaf Ilmu- Program MUMTAZ, Waqaf Perak Ar-Ridzuan

TANJUNG MALIM, 31 Julai 2016 (Ahad) Seramai 121 orang calon pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian  Sekolah Rendah (UPSR) 2016 dari sekolah-sekolah di daerah Mu`allim dan Batang Padang telah menyertai Seminar Kecemerlangan Pendidikan UPSR 2016. Seminar tersebut telah berlangsung selama tiga hari iaitu pada 29 sehingga 31 Julai 2016 di Dewan Kuliah Pusat, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI Tanjung Malim. 

Seminar Kecemerlangan Pendidikan UPSR 2016 merupakan salah satu bidang di bawah Projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) iaitu Wakaf Ilmu-Program Mumtaz dan Pembelajaran ICT. Seminar ini melibatkan kerjasama antara Majlis Agama Islam Dan `Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat. Program Mumtaz WPAR ini para peserta telah dipilih daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah di mana tujuan utamanya untuk mengurangkan jurang pencapaian akademik antara pelajar bandar dengan luar bandar.

Seminar Kecemerlangan Pendidikan UPSR 2016 ini bermatlamat memberi motivasi di kalangan peserta dan berusaha mempertingkatkan prestasi pencapaian UPSR yang akan diduduki tidak lama lagi. Seminar ini juga bertujuan untuk mengerakkan ekonomi Islam berlandaskan wakaf. Ianya membolehkan wujudnya kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan dan keperluan untuk berwaqaf bagi pembangunan ekonomi bersama.

Semoga program seperti ini dapat membuka peluang dan memberikan hak yang sepatutnya kepada setiap peserta untuk berjaya dan cemerlang di peringkat yang lebih tinggi dengan bantuan dan kerjasama masyarakat sekeliling khususnya. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Tuan Mohd Haidi Bin Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIPk.









.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.