Majlis Pelancaran Logo dan Pelan Strategik MAIPk

SIARAN MEDIA
MAJLIS PELANCARAN LOGO DAN PELAN STRATEGIK MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK
IPOH, 27 September 2016 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menganjurkan Majlis Pelancaran Logo dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, Perak. Majlis yang dianjurkan ini disempurnakan oleh kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. Majlis ini dihadiri YAB. Menteri Besar Perak, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Anggota-Anggota MAIPk, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri serta agensi-agensi kerajaan dan swasta.
Sebagai satu usaha simbolik perkembangan MAIPk di tanahair khususnya di Negeri Perak, logo baru MAIPk telah dilancarkan dalam majlis tersebut. Logo tersebut secara keseluruhannya melambangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai sebuah institusi Islam yang progresif dan dinamik dalam memartabatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu di bawah payung pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Warna putih membawa maksud kesucian, ketulusan dan akauntabiliti MAIPk sebagai sebuah institusi Islam. Warna kuning membawa maksud kesatuan pemikiran dan tindakan bagi mencapai visi dan misi MAIPk manakala warna hitam membawa maksud kemampanan, berdaya maju dan kekal relevan sepanjang masa merentasi peredaran zaman. Perincian kepada Logo tersebut boleh dirujuk pada Lampiran. Logo tersebut direka oleh Encik Mohd Rashidy bin Samsudin, 32 tahun dan beliau kini bekerja di Syarikat Creative Services Department, Petaling Jaya, Selangor.
Di samping itu, pihak MAIPk memperkenalkan Pelan Strategik MAIPk 2016-2021 bagi merealisasikan mandat dan aspirasi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memajukan ummah dan melindungi kesucian syiar Islam. Mandat yang menjadi paksi pelan strategik ini ialah Kesucian Syiar Islam, Kedaulatan Raja-raja Melayu, Ketuanan dan Hak Istimewa Orang Melayu, dan Keutuhan Undang-undang Islam. Manakala Aspirasi yang menjadi hala tuju pelan ialah Pemerkasaan Individu, Organisasi dan Ummah Menerusi Pendidikan, dan Kemajuan Sosioekonomi Individu, Keluarga, Komuniti dan Ummah.








.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.