Majlis Penyampaian Agihan Wakaf Saraan

IPOH, 21 Disember 2016 Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr. Amiruddin bin Muhamed telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Wakaf Saraan di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan. Majlis Agihan Wakaf Saraan pada tahun 2016 secara keseluruhannya melibatkan 42 penerima manfaat wakaf saraan dengan jumlah agihan sebanyak RM 601,799.89. Penerima manfaat wakaf saraan terbanyak ialah Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan sebanyak RM 115,830.00 diikuti dengan SRAR Al-Maskan, Simpang Empat Hutan Melintang sebanyak RM 37,800.00 dan Madrasah Idrisiah,Kuala Kangsar RM 37,295.20.

Wakaf saraan merupakan aset yang diwakafkan oleh pewakaf bagi tujuan menyara institusi tertentu seperti masjid, surau, rumah anak yatim, tanah perkuburan, sekolah agama dan sebagainya lagi. Di dalam konteks ini, MAIPk selaku pemegang amanah kepada aset wakaf ini akan membangunkan aset-aset yang diwakafkan tersebut dan hasilnya akan diagihkan semula kepada penerima manfaat selaras dengan hasrat pewakaf.

Di dalam majlis berkenaan, beliau menyeru agar aset-aset wakaf yang diwakafkan oleh pewakaf terus kepada penerima manfaat didaftarkan atas nama MAIPk bagi tujuan memelihara aset berkenaan dan memastikan ianya dapat diuruskan dengan baik.

Beliau juga menarik perhatian masyarakat dengan pewujudan Waqaf Perak Ar-Ridzuan yang telah dilancarkan oleh DYMM Seri Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan pada 7hb April 2016 yang lalu. Ketika ini, banyak projek-projek di bawah Waqaf Perak Ar-Ridzuan telah dan sedang dilaksanakan seperti Wakaf Ilmu Program Mumtaz dan Wakaf Pembangunan & Perkembangan Ilmu Al-Quran di mana 4 buah program telah berjaya sepanjang 2016. Beliau seterusnya menyeru agar anggota masyarakat terus menyokong dan berwakaf kepada dana Wakaf Perak Ar-Ridzuan dengan melayari Portal Waqaf Perak Ar-Ridzuan di laman web www.wakafperak.gov.my.








.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.