MAIPk RINGANKAN BEBAN PESAKIT ASNAF MENERUSI BANTUAN PERUBATAN DI MUALLIM
MUALLIM – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) meneruskan komitmennya dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan melalui penyaluran Bantuan Perubatan kepada dua penerima di daerah Muallim.
Penerima pertama, Puan Foziah binti Samin, 66 tahun, dari Felda Sungai Behrang menghidap penyakit gout serta mengalami masalah usus dan saraf yang memerlukan sokongan penjagaan dan pemakanan khas. Puan Foziah menerima bantuan berjumlah RM4,478.60 berupa bekalan lampin pakai buang, kerusi roda dan susu Ensure Gold.
Sementara itu, Adik Ahmad Aqil Muqri bin Abdullah, 11 tahun, dari Kampung Sungai Muda menghidap autisme dan kerap mengalami serangan sawan. Adik Ahmad Aqil menerima bantuan berjumlah RM15,956.00 berupa bekalan susu Nutren Junior, lampin pakai buang serta keperluan penjagaan lain bagi tempoh enam bulan.
Bantuan telah disampaikan oleh Pengurus MAIPk Cawangan Muallim, Encik Mohd Rosmini bin Mohd Rosli. Bantuan yang disalurkan mencerminkan keprihatinan MAIPk dalam memastikan golongan asnaf yang berdepan cabaran kesihatan mendapat bantuan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing sekali gus membantu meringankan beban kewangan penerima dan keluarga.










