• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Home
  • Corporate
  • Client Charter
  • MAIPK News
  • KERJASAMA STRATEGIK MAIPk DAN PUSAT KOREKSIONAL BATU GAJAH PERKASA PEMULIHAN HOLISTIK PROSPEK WANITA

KERJASAMA STRATEGIK MAIPk DAN PUSAT KOREKSIONAL BATU GAJAH PERKASA PEMULIHAN HOLISTIK PROSPEK WANITA

BATU GAJAH, 24 Julai 2026 – Kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan Pusat Koreksional Batu Gajah (PKBG) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan insan yang memberi fokus kepada pemulihan holistik prospek wanita. Inisiatif tersebut mendapat perhatian apabila Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke PKBG bagi meninjau sendiri pelaksanaan program-program berimpak tinggi hasil kerjasama antara kedua-dua institusi.

Lawatan kerja tersebut memberi peluang kepada DYMM Raja Permaisuri Perak meninjau secara langsung keberkesanan pelaksanaan pelbagai program yang dirangka bagi memperkasa pembangunan sahsiah, kerohanian serta kemahiran prospek wanita dan tahanan reman. Bermula pada tahun 2025, MAIPk telah meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM396,660.00 bagi menjayakan beberapa inisiatif utama di PKBG yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara menyeluruh.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah penubuhan Akademi Az-Zahra, iaitu pusat tahfiz wanita pertama di institusi koreksional di Malaysia. Akademi ini menyediakan modul hafazan, tahriri dan usrah yang disusun secara sistematik bagi melahirkan prospek wanita yang berdisiplin, mahir dalam penguasaan al-Quran serta memiliki kekuatan rohani sebagai asas untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas tamat menjalani tempoh pemulihan.

Selain itu, MAIPk turut menaik taraf fasiliti dapur dan kantin wanita sebagai pusat latihan keusahawanan yang menepati piawaian industri. Di samping itu, prospek wanita mengikuti kursus latihan kulinari yang dikendalikan oleh syarikat penyedia latihan bertauliah bagi meningkatkan kompetensi mereka dalam bidang penyediaan makanan dan keusahawanan. Program ini memberi peluang kepada prospek wanita memperoleh kemahiran yang dapat meningkatkan keupayaan hidup, memperkukuh kebolehpasaran serta membuka ruang kepada mereka untuk berdikari dan menjana pendapatan selepas tamat tempoh pemulihan.

Kerjasama strategik antara MAIPk dan Pusat Koreksional Batu Gajah ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa agenda pemulihan berteraskan nilai-nilai Islam melalui pendekatan pendidikan, pembangunan kemahiran dan pengukuhan sahsiah. Pendekatan holistik ini diyakini mampu membantu prospek wanita membina keyakinan diri, memperkukuh jati diri serta mempersiapkan mereka untuk kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif, berdikari dan berakhlak mulia.

Kejayaan pelaksanaan inisiatif ini turut membuktikan bahawa sinergi antara institusi agama dan institusi pemulihan mampu menghasilkan impak yang signifikan dalam usaha melahirkan insan yang lebih berkualiti. MAIPk akan terus komited memperluas kerjasama strategik bersama pelbagai agensi bagi memastikan manfaat zakat dapat dimanfaatkan secara lebih lestari dan memberi impak jangka panjang kepada golongan yang memerlukan.

Hadir sama mengiringi lawatan ialah isteri YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, YB Dato’ Salbiah binti Mohamed; Yang Dipertua MAIPk, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini; serta Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak.


.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.