MAIPk SALUR BANTUAN PERUBATAN, RINGANKAN BEBAN TIGA PESAKIT DI KAMPONG GAJAH
KAMPONG GAJAH – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Kampong Gajah turun padang menyantuni dan menyalurkan bantuan perubatan kepada tiga pesakit di daerah Kampong Gajah.
Penerima pertama, Puan Nur Ain, penghidap kanser usus tahap tiga sejak tahun 2024. Beliau telah menjalani prosedur stoma pada usus bahagian kiri pada Februari 2025 dan seterusnya pada usus bahagian kanan pada Oktober 2025.
Susulan prosedur tersebut, Puan Nur Ain kini mempunyai dua stoma yang memerlukan penggunaan beg stoma pada kedua-dua belah badan. Beg stoma berkenaan perlu ditukar secara berkala bagi memastikan kebersihan dan keselesaan beliau.
Prihatin masalah yang dihadapi, MAIPk telah menyalurkan bantuan berjumlah RM4,400.00 bagi membantu menyediakan bekalan lampin pakai buang dan beg stoma yang diperlukan.
Sementara itu, MAIPk menyalurkan bantuan berjumlah RM7,280.00 kepada Encik Wan Ahmad Suhana bagi membantu menyediakan keperluan lampin pakai buang dan susu formula khas.
Encik Wan Ahmad Suhana disahkan menghidap strok sejak penghujung tahun 2025 dan kini mengalami kekangan mobiliti sepenuhnya sehingga memerlukan penjagaan serta bantuan penuh dalam menjalani kehidupan seharian. Segala urusan penjagaan dan keperluan harian beliau diuruskan sepenuhnya oleh kakaknya.
MAIPk turut menyantuni Encik Abdullah Mohamad di Kg. Tersusun Changkat Lada. MAIPk menyerahkan bantuan bantuan berjumlah RM12,183.00 bagi menampung keperluan bekalan lampin pakai buang dan susu formula khas Ensure sebagai sebahagian daripada keperluan pemakanan harian.
Encik Abdullah telah menghidap penyakit kencing manis serta mengalami strok yang menjejaskan bahagian kanan badan sejak kira-kira lapan tahun lalu kini memerlukan penjagaan sepenuhnya daripada isterinya.
Bantuan telah disampaikan oleh Pengurus Cawangan MAIPk Kampong Gajah, Encik Muhamad Amir Amirul bin Ismail. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga, khususnya dalam menampung kos keperluan perubatan dan penjagaan harian yang perlu ditanggung secara berterusan.
MAIPk sentiasa prihatin terhadap kebajikan golongan yang memerlukan dan komited memastikan dana zakat disalurkan kepada golongan asnaf dan penerima yang benar-benar memerlukan.










