MAIPk Angkat Usahawan OKU Penglihatan, Dilatih Dalam Urutan Kiropraktik
IPOH, 26 Ogos 2025 –Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini melangkah setapak ke hadapan dengan melatih usahawan OKU penglihatan dalam bidang urutan kiropraktik. Program ini bukan sekadar sebuah latihan, tetapi hadir sebagai sinar harapan.
Golongan ini akan mengikuti latihan secara berjadual selama tiga bulan sehingga benar-benar mahir dan menguasai kaedah urutan kiropraktik. Sejumlah hampir RM100,000 diperuntukkan, termasuk elaun harian serta penginapan sepanjang tempoh latihan.
Program ini merupakan salah satu cabang PROPER A, yang menjadi tunjang pembangunan usahawan MAIPk dan seterusnya berperanan meningkatkan ekonomi mereka.
Tidak semua insan dilahirkan sempurna. Ada yang diuji dengan kehilangan penglihatan, namun dikurniakan Allah kelebihan luar biasa yang tidak dimiliki oleh orang lain. Walaupun mata mereka tidak mampu melihat, “sentuhan tangan” mereka mampu memberi kelegaan dan rawatan kepada orang lain.
Walaupun hidup mereka sering dipandang terbatas, MAIPk percaya bahawa setiap insan mempunyai ruang untuk berjaya. Dengan kemahiran ini, mereka bukan sahaja mampu berdikari, bahkan berupaya menjana rezeki halal demi kesejahteraan keluarga.
Inilah perjuangan MAIPk, menjadikan keterbatasan sebagai kekuatan, kekurangan sebagai peluang, dan menjadikan air mata bertukar menjadi senyuman.
Doakan agar lebih ramai lagi usahawan OKU penglihatan berjaya dilahirkan, sehingga dunia dapat menyaksikan bahawa mereka juga mampu menjadi insan luar biasa.







