GERAN iTEKAD LONJAK USAHAWAN PROPER A MAIPk KE ARAH KEUSAHAWANAN MAMPAN
IPOH, 15 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melaksanakan Majlis Penyerahan Geran iTEKAD kepada seramai 51 usahawan PROPER A MAIPk bertempat di Dewan al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan.
Jumlah keseluruhan Geran iTEKAD yang disalurkan adalah sebanyak RM385,000, merangkumi RM200,000 geran daripada Bank Islam Malaysia Berhad dan RM185,000 geran daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Majlis disempurnakan dengan perasmian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman bin Md Salleh, diikuti penyerahan geran oleh Pengarah SSM Negeri Perak, Azurah Nor Sariff. Turut hadir menyempurnakan sebahagian penyerahan geran ialah Ketua Syariah merangkap Group Chief Social Finance Officer Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri bin Chik.
Para usahawan menerima geran modal perniagaan antara RM5,000 hingga RM40,000, dan sebahagian daripada mereka turut memperoleh pembiayaan tambahan daripada Bank Islam antara RM20,000 hingga RM50,000.
Program iTEKAD bukan sekadar pemberian dana, malah merupakan inisiatif berterusan untuk melahirkan usahawan asnaf yang berdikari, mampan dan berjaya, seterusnya memperkukuh ekonomi keluarga serta berpotensi menjadi penyumbang semula melalui zakat perniagaan.





