KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG, MAIPk LAHIRKAN OKU BERDAYA SAING MELALUI PROGRAM PROPER A
IPOH, 11 November 2025 – Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi Latihan Refleksologi dan Kiro Terapi yang telah berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh. Majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Wan Maizura binti Haji Wan Zahari, dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Amirudin bin Osman.
Program ini memberi peluang kepada golongan OKU untuk menikmati manfaat hasil kutipan zakat melalui latihan kemahiran yang sesuai, sekali gus memastikan mereka tidak tersisih dalam arus pembangunan ekonomi. Ia juga bertujuan melahirkan peserta OKU yang berdaya saing dan mampu berdikari dalam mencari sumber pendapatan halal bagi menyara keluarga.
Seramai 30 peserta daripada pelbagai kategori OKU termasuk cacat penglihatan telah berjaya menamatkan latihan selama empat bulan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM118,000.00, merangkumi elaun khas, penginapan, makan minum dan pengangkutan sepanjang tempoh latihan.
MAIPk kekal komited dalam memastikan setiap golongan asnaf, termasuk mereka yang berkeperluan khas, diberikan ruang dan peluang memperkasa diri melalui pembangunan kemahiran. Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi asas kepada kehidupan yang lebih berdikari serta inspirasi kepada masyarakat untuk terus berusaha tanpa menyerah pada kekurangan.












