MAIPk ZIARAH DAN SALUR BANTUAN KEPADA LIMA ASNAF DI DAERAH KAMPONG GAJAH
KAMPONG GAJAH, 12 Februari 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Kampong Gajah telah melaksanakan Program Ziarah Asnaf melibatkan lima penerima bantuan sebagai komitmen berterusan memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela. Bantuan yang disalurkan adalah berdasarkan siasatan dan penilaian terperinci bagi memastikan ia benar-benar menepati keperluan penerima.
Antara penerima ialah Encik Mohamad Jais bin Shapiai yang menerima Bantuan Perubatan RM2,000 bagi pembekalan lampin pakai buang selama enam bulan, manakala Puan Hamidun binti Osman yang terlantar akibat strok menerima bantuan perubatan berjumlah RM6,384.40 meliputi lampin pakai buang, susu perubatan dan pelapik cadar.
MAIPk turut meluluskan Bantuan Bina Rumah bernilai RM74,800 kepada Puan Rahanom binti Arjon yang menghidap masalah kesihatan mental serta Puan Zaharah binti Yahya yang kehilangan rumah akibat kebakaran. Selain itu, Encik Zainal bin Abdul Manab menerima Bantuan Baik Pulih Rumah RM20,000 bagi membaiki bumbung rumah yang uzur dan bocor.
Program Ziarah Asnaf dihadiri Orang Besar Jajahan Perak Tengah, Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari, Pengurus Besar Bahagian Bahagian Agihan Zakat, Suhaimi bin Yusoff, Pengurus Besar Zon Tengah, Shaiful Nizam bin Not, Pengurus Cawangan Kampong Gajah, Muhamad Amir Amirul bin Ismail serta para pekhidmat MAIPk dari ibu pejabat dan cawangan Kampong Gajah.












