MAIPk ZON UTARA ZIARAH WARIS MANGSA KEMALANGAN
Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Zon Utara telah mengadakan ziarah ke atas waris mangsa kemalangan maut yang berlaku di Jalan Raya Barat, Klang, dengan menziarahi isteri mangsa, Nor Nadia binti Abdul Majid. Ziarah ini bertujuan menyampaikan sumbangan serta menilai keperluan semasa waris bagi memastikan kelangsungan kehidupan mereka terus terbela.
Dalam lawatan tersebut, bantuan kecemasan tunai berjumlah RM1,000 telah disampaikan oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd Saufi bin Ibrahim. MAIPk komited untuk terus menyalurkan bantuan bersesuaian kepada waris mangsa dan keluarga berdasarkan keperluan semasa, sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah YADIM Perak, Ramdani Abdul Karim; Penghulu Kanan Mukim Batu Kurau, Ahmad Zarudi Shahrani; serta Penghulu Mukim Batu Kurau, Zul Hakimy Osman.
Terdahulu, mangsa dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu secara berbahaya dan disyaki berada di bawah pengaruh alkohol. Kenderaan tersebut dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh mangsa, menyebabkan kematian di tempat kejadian.








