DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK BERKENAN MERASMIKAN MASJID AL-MUHAJIRIN KAMPUNG ULU CHEPOR
CHEMOR, 26 Mei 2026 – DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Al-Muhajirin, Kg. Ulu Chepor, Chemor.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 8:20 malam di pekarangan masjid telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, YBhg. Dato' Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman bin Md Salleh dan Timbalan Mufti Negeri Perak, YBhg. Sahibus Samahah Dato' Haji Zamri bin Hashim.
Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menarik tirai sebagai simbolik perasmian masjid serta disusuli bacaan doa perasmian masjid. Baginda kemudian berkenan menyertai takbir raya Aidiladha serta menunaikan solat Isyak berjemaah. Baginda berkenan berangkat meninggalkan majlis kira-kira pukul 9.15 malam selepas sesi bergambar bersama ahli jawatankuasa masjid.
Masjid Al-Muhajirin dibina pada tahun 2018 dan telah mula digunakan pada tahun 2025. Pembinaan masjid ini di atas tanah seluas 1.9 hektar dengan kos berjumlah RM6 juta serta mampu menampung sehingga 1,200 jemaah pada satu-satu masa. Masjid Al-Muhajirin turut mengamalkan konsep lestari dengan pelbagai jenis tanaman pokok seperti kelapa, matoa dan serai di persekitaran masjid.








