MAIPk KOMITED MEMASTIKAN KECEMERLANGAN PELAJAR MELALUI SKIM BIASISWA PELAJARAN BAITULMAL, SAMPAIKAN SUMBANGAN 55 KOMPUTER RIBA
IPOH, 1 September 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited memperkukuh usaha memperkasa pendidikan anak-anak asnaf menerusi penganjuran Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 di bawah Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBPB). Kali ini program ini berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh untuk pelajar tajaan MAIPk yang tinggal di Zon Tengah dan Zon Selatan Negeri Perak.
Program yang diadakan ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan kecemerlangan dalam peperiksaan, selain memberi pendedahan berkaitan kaedah menjawab SPM, membentuk sikap positif serta meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan dalam menghadapi peperiksaan.
SBPB MAIPk merupakan tajaan pendidikan peringkat sekolah menengah kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada keluarga asnaf fakir dan miskin yang cemerlang dalam pelajaran. Pada tahun ini, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM421,000.00 untuk membiayai 183 orang pelajar Tingkatan 5 dan 31 orang pelajar Tingkatan 4 dengan pelbagai bantuan dan penganjuran program. Para pelajar mendapat bantuan kewangan sebanyak RM1,500 setahun, serta menerima sokongan melalui program tuisyen secara dalam talian, program motivasi, Seminar Kecemerlangan SPM, Program HIASMEGA (langkah ke IPT) serta insentif kecemerlangan peperiksaan SPM.
Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 dilaksanakan di empat zon di seluruh negeri Perak, melibatkan 183 orang pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Seperti pelaksanaan program terdahulu di Zon Barat yang menyaksikan penyerahan komputer riba kepada 30 orang pelajar SBPB, program kali ini turut diteruskan dengan penyerahan 55 unit komputer riba kepada 55 orang pelajar SBPB hasil sumbangan Pintas Utama Sdn. Bhd. menerusi Program Kerjasama Wakalah MAIPk.
Sumbangan komputer riba ini membantu menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik serta meningkatkan akses pelajar kepada teknologi digital. Inisiatif tersebut turut mencerminkan kepentingan kerjasama antara MAIPk dengan pihak korporat dalam memperluaskan penyampaian manfaat zakat secara bersasar, sekali gus menyokong keperluan pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak asnaf.
Sesi penyerahan komputer riba disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Puan Wan Maizura binti Wan Zahari. Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat MAIPk, Encik Rohozan bin Omar.
Turut hadir mewakili Pintas Utama Sdn. Bhd. ialah Head of Operation (Slope), Br. Hazman bin Ahmad.








