• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik

Sejarah Penubuhan Majlis Agama Islam Dan 'Adat Melayu Perak

Negeri Perak merupakan salah sebuah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ("Federated Malay States") yang ditubuhkan menerusi Perjanjian Bersekutu ("Treaty of Federation") pada 1 Julai 1896. Pada ketika itu, Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan) telah ditubuhkan untuk membincangkan hal ehwal dan kepentingan bersama di antara Raja-Raja Melayu dengan Pemerintahan British. Negeri Perak menjadi tuan rumah kepada mesyuarat pertama Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu atau lebih dikenali sebagai Mesyuarat Durbar, yang telah diadakan pada 13 hingga 17 Julai 1897 bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Sebagaimana yang telah dipersetujui dengan pihak British, bermula daripada Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, hinggalah kepada penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, suatu ketetapan telah disepakati secara bersama, bahawa, segala perkara berhubung hal ehwal Agama Islam ("Islamic Affair") dan Adat Melayu ("Malay Custom") hendaklah berada di bawah bidang kuasa Raja Melayu. Justeru, Ketua Agama Islam dan Adat Melayu yang berkuasa penuh di Negeri Perak pada zaman itu, ialah Duli Yang Maha Sultan. Amalan ini dikekalkan hingga ke hari ini.

Dari sudut sejarah, undang-undang tertua berhubung hal ehwal agama Islam yang telah dikuatkuasakan di Negeri Perak ialah Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan ("Ninety nine Laws of Perak") yang telah diamalkan sehingga ke tahun 1900. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh permulaan kuat kuasa undang-undang tersebut. Adalah dipercayai, undang-undang itu telah mula dilaksanakan semenjak pemerintahan Al-Marhum Sultan Idris Murshidul A'azam Shah ibni Al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar (1887 hingga 1916).

Kemudiannya, pada tahun 1900, satu undang-undang yang dinamakan Undang-Undang Pentadbiran Perkahwinan Orang-Orang Islam Bab 197 Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Berikutan itu, sebuah bangunan telah didirikan di kawasan Pejabat Kadi Wilayah Kuala Kangsar untuk dijadikan sebuah ibu pejabat pentadbiran Islam yang dinamakan sebagai Balai Syara'. Seorang Kadi Besar telah dilantik bagi mengetuai Kadi-Kadi Wilayah dan ditempatkan di sini. Pada ketika itu wilayah-wilayah kadi yang dikuatkuasakan ialah Kuala Kangsar, Taiping, Simpang Lima, Selama, Lenggong, Ipoh, Batu Gajah, Parit, Sitiawan, Teluk Intan, Tapah dan Tanjong Malim. Kadi Besar pertama yang dilantik ialah Tuan Habib Abdullah.

Dalam tahun 1917, Komiti Quran Perak pula telah ditubuhkan bertujuan untuk mengawal dan memantau pengendalian pengajaran agama Islam di Negeri Perak. Pengerusi pertama yang dilantik ialah Sultan Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Ramatullah Shah (1918-1938), yang merupakan Raja Bendahara Perak pada ketika itu. Komiti Quran Perak ini juga, turut bertindak sebagai Komiti Syariah Negeri Perak, yang bertanggungjawab dalam segala hal berkaitan dengan pentadbiran agama Islam secara umum pada masa itu termasuklah mengeluarkan kebenaran bagi penerbitan buku-buku agama, pentauliahan mengajar dan sebagainya.

Menjelang pertengahan tahun 1947, ketika tanah air bergolak hebat dengan perjuangan menentang Malayan Union (ditubuhkan 1 April 1946), beberapa pergerakan, pertubuhan dan persatuan telah muncul memperjuangkan semangat nasionalisme bangsa menentang penjajahan British. Antara persatuan yang begitu lantang bersuara di Negeri Perak pada ketika itu ialah Persatuan Melayu Perak. Atas inisiatif persatuan inilah maka, satu perjumpaan para alim ulama telah diadakan pada 10 Ogos 1947 bertempat di Madrasah Iskandariah Kuala Kangsar. Pada pertemuan itu, Dato Seri Ali Zaini bin Haji Muhamad Zain, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, telah mencetuskan idea yang bernas bagi menubuhkan sebuah pusat agama secara rasmi untuk mentadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Perak.

Tanggal 21 Januari 1948, merupakan suatu detik bersejarah yang amat bermakna bagi Negeri Perak apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Aziz Al-Mu'tasim Billah Shah Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa (1938-1948) menandatangani suatu perjanjian dengan Sir Gerard Edward James Gent (Pesuruhjaya Tinggi British/Gabenor-Jeneral Malayan Union) yang mewakili Kerajaan British. Perjanjian yang dinamakan sebagai Perjanjian Negeri Perak 1948 tersebut, telah membawa kepada pembentukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak tersebut telah dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948 di bawah pemerintahan baginda sultan.

Dengan berkuat kuasa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri itu, hasrat untuk menubuhkan sebuah pusat pentadbiran agama Islam di Negeri Perak akhirnya dapat direalisasikan. Kuasa untuk menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dinyatakan secara jelas di bawah Fasal VI.(1) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak iaitu :

"Kepala Ugama negeri ini ialah Yang Maha Mulia, dan Yang Maha Mulia akan memerintah supaya diadakan Undang-undang untuk mengaturkan perkara-perkara ugama dan menubuhkan sebuah Majlis Ugama Islam dan 'adat Melayu bagi menolong dan menasihatkan Yang Maha Mulia berkenaan dengan perkara-perkara yang bersabit dengan Ugama Negeri ini dan 'adat Melayu."

Setelah kemangkatan baginda Sultan Abdul Aziz Al-Mu'tasim Billah Shah pada 29 Mac 1948, takhta kerajaan Negeri Perak diwarisi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahulah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Al-Mukhataram Karamatullah Shah (1948-1963). Kerajaan Negeri pada ketika itu dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Dato' Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957).

Pada masa pemerintahan baginda Sultan Yussuf Izzudin Shah inilah, maka, Kerajaan Negeri secara rasmi menubuhkan Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak pada 1 Muharam 1369 Hijrah bersamaan 23 Oktober 1949. Undang-undang khusus berhubung pentadbiran agama Islam dan adat melayu di negeri ini telah diluluskan secara rasmi pada 1 Mei 1952.

Dengan penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, pentadbiran Balai Syara' dan Komiti Quran Perak yang berada di Kuala Kangsar, telah disatukan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan dipindahkan ke Ipoh. Manakala, pentadbiran Balai Syara' yang sedia ada telah diserapkan di bawah pentadbiran Pejabat Kadi Kuala Kangsar. Pejabat rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang pertama telah ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi memperkemaskan lagi pentadbiran agama Islam dan adat Melayu di Negeri Perak, undang-undang yang berkaitan dengannya telah disemak, dipinda dan digubal beberapa kali. Pada tahun 1965, sebuah undang-undang yang dinamakan sebagai Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1965 (Enakmen Bil. 11 Tahun 1965) telah dikuatkuasakan bagi menggantikan undang-undang tahun 1952. Kemudian, pada 13 Januari 1993, Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1965 tersebut telah digantikan pula dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 (Enakmen Bil. 2 Tahun 1992). Di bawah Enakmen Bil. 2 Tahun 1992 tersebut, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu telah diperbadankan secara rasmi sebagai sebuah badan berkanun kerajaan. Bagi tujuan keseragaman dengan negeri-negeri lain seluruh Malaysia, Enakmen Pentadbiran Agama 1992 tersebut, akhirnya digantikan pula dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 (Enakmen Bil. 4 Tahun 2004). Enakmen Bil. 4 Tahun 2004 tersebut telah dikuatkuasakan pada 15 September 2004 dan masih kekal berkuatkuasa sehingga kini. Entiti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu juga masih dikekalkan sebagai badan berkanun kerajaan.

Senarai Yang DiPertua Majlis
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.