MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN ANGGOTA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK, HAKIM MAHKAMAH SYARIAH NEGERI PERAK AHLI MAJLIS PERUNDINGAN MASJID SERTA PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN DAN PENDAPATAN
IPOH, 18 Disember 2025 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-MaghfurLah, mengikut seksyen 11, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAJLIS) bagi penggal 2026 - 2027. Mendahului penerima watikah YAB. Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak, YABhg. Tan Sri Dato‘ Seri Mohd. Annuar bin Zaini dilantik sebagai Yang Dipertua MAJLIS serta lima (5) ahli atas nama jawatan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Ketua Hakim Syarie Negeri Perak serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Dua puluh satu (21) anggota pada penggal 2024 - 2025 dilantik semula, sementara lima (5) anggota baharu dilantik bagi penggal 2026 - 2027.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan melantik 13 orang Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak serta 55 orang Ahli Majlis Pengurusan Masjid Negeri Perak yang bakal berperanan memperkukuh tadbir urus masjid, memantapkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, serta menyokong agenda dakwah, pendidikan dan kesejahteraan ummah di seluruh negeri Perak.
Selanjutnya, baginda berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan daripada 11 agensi melibatkan jumlah keseluruhan RM18,400,115.12.










