MAIPk PERKASA BELIA ORANG ASLI PERAK MELALUI TAJAAN PENUH LATIHAN SENI KRAF DI INSTITUT KRAF NEGARA
RAWANG, 05 Januari 2026 - MAIPk membuka tirai TVET 2026 dengan penghantaran 15 belia Orang Asli Perak ke Institut Kraf Negara (IKN), Rawang sebagai langkah strategik dalam usaha memperkasa belia asnaf melalui pembangunan kemahiran berimpak tinggi.
MAIPk mengambil inisiatif membawa kumpulan peserta ini melawat Institut Kraf Negara sebagai strategi awal untuk memberi pendedahan dan memupuk minat serta membuat penilaian potensi sebelum memulakan latihan secara rasmi. Langkah ini bertujuan memastikan peserta bersedia untuk mengikuti dan menamatkan latihan dengan jayanya.
Peserta akan mengikuti latihan intensif selama 1 tahun 6 bulan dalam bidang seni kayu, seni rotan, seni batik, seni logam dan tenunan, yang melayakkan mereka memperoleh Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, seterusnya melahirkan tenaga kerja seni kraf yang berkemahiran, berdaya saing dan berpotensi menjana pendapatan secara mampan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam menyediakan laluan pembangunan kendiri yang tersusun dan berfokus, selaras dengan usaha meningkatkan kualiti hidup asnaf ke arah masa depan yang lebih stabil dan berdaya tahan.
Bagi belia asnaf di negeri Perak, MAIPk akan terus memperkukuh pelaksanaan program TVET secara lebih berfokus dan menyeluruh. Nantikan tawaran latihan kemahiran seterusnya yang membuka peluang untuk memperbaiki taraf hidup serta membina masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing.
“Bersama MAIPk, kemahiran adalah kunci perubahan”














