MAIPk BANTU USAHAWAN OKU CARWASH TINGKATKAN PENDAPATAN KELUARGA
KAMPONG GAJAH, 11 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) menyampaikan bantuan peralatan perniagaan bernilai RM4,000.00 di bawah Skim Bantuan Modal kepada seorang pengusaha perkhidmatan cucian kereta (carwash), Encik Aminudin bin Mansor, dari Felcra Seberang Perak, Mukim Bandar.
Encik Aminudin, 55, yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) bisu, telah mengusahakan perniagaan carwash bersama dua orang anaknya sejak enam tahun lalu dan menjadikan perniagaan tersebut sebagai sumber pendapatan utama keluarga.
Kesungguhan dan kecekalan beliau dalam mengusahakan perniagaan berkenaan membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk terus berusaha mencari rezeki serta meningkatkan taraf kehidupan keluarga.
Bantuan berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Cawangan MAIPk Kampong Gajah, Encik Muhamad Amir Amirul bin Ismail.
MAIPk berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan Encik Aminudin serta meringankan beban kehidupan seharian yang ditanggung bersama keluarga.










