Tahniah Adik Nur Farrah Zuleinna Binti Mohd Yusof

Alhamdulillah, adik NUR FARRAH ZULEINNA BINTI MOHD YUSOF, yang berasal dari Lenggong Perak telah berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan MUMTAZ (Terbaik Keseluruhan) dalam bidang pergigian di Universiti of Alexandria, Egypt.

Beliau merupakan penerima bantuan zakat MAIPK bermula 2015 (Tambang perjalanan pergi belajar luar negara dan Dermasiswa Luar Negara MAIPk sehinggalah beliau tamat pengajiaannya pada 2020.

Pihak MAIPk mendoakan adik Farrah terus berjaya dan dapat memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat. Insya Allah.

**Titipan adik Farrah**

Bismillahirahmanirrahim

Saya, Nur Farrah Zuleianna Binti Mohd Yusof, (24), berasal dari Perak. Pada tanggal 15 september 2020, Alhamdulillah, saya telah pon berjaya bergelar sebagai salah seorang graduan pergigian dari University of Alexandria. Pengalaman 5 tahun pengajian dalam bidang pergigian di Mesir telah mengajar saya akan pelbagai perkara bukan sahaja dari segi ilmu pergigian malah juga pelbagai ilmu yang bermanfaat yang secara tidak langsung mengajar saya erti kedewasaan.

Bidang pergigian bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya, kerana pengajian dalam bidang ini bukan sahaja menekankan pembelajaran dari segi teori malah juga kemahiran dari segi klinikal.

Sejak kecil, saya mempunyai minat yang mendalam akan kesenian. Kebanyakan masa lapang saya diisi dengan melukis dan mewarna sehinggalah saya meningkat ke alam dewasa.

Bahkan dari segi kerjaya, saya turut melihat bidang pergigian sebagai satu bidang yang memerlukan bukan sahaja kebolehan, kemahiran tetapi juga kesenian dan kreativiti tinggi seperti kemahiran membuat gigi palsu, menampal gigi, kecekapan mencabut gigi, keterampilan berkomunikasi secara efektif dengan pesakit serta kemahiran mendiagnosis dan menentukan perancangan rawatan yang sesuai kepada pesakit. Hal ini ,secara langsung menarik minat saya untuk menceburi bidang ini.

Setelah menamatkan pengajian di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang biomedikal. Namun, kerana minat yang mendalam, saya tekad untuk tetap terus mencuba mendapatkan peluang dalam bidang pergigian.

Belajar di Mesir merupakan cadangan dari bapa saudara saya. Pada masa yang sama, saya juga menganggap bahawa Mesir merupakan satu laluan dan peluang baru bagi saya menceburi dalam bidang pergigian.

Pada pandangan saya, saya percaya setiap orang boleh berjaya jika mereka diberi peluang untuk melakukan apa yang mereka minati. Seperti bait kata yang sering kita dengar, “Minat dan semangat kita dapat menjadikan kita terus bertindak dan kejayaan pasti akan bersama dengan kita apabila tindakan kita sudah cukup”. saya juga percaya usaha, doa dan tawakkal adalah pintu kepada kejayaan.

Saya sangat bersyukur kerana saya telah mendapat bantuan dermasiswa dari zakat perak (Maipk) pada setiap tahun. Meskipun bantuan tersebut tidak mampu menanggung keseluruhan jumlah yuran pengajian setiap tahun, namun saya bersyukur kerana bantuan tersebut amat membantu meringankan beban ibu bapa saya untuk menanggung lebihan kos pengajian.

Berbekalkan rasa syukur akan rezeki bantuan dermasiswa Maipk serta dorongan dari ibu bapa saya, saya bertekad untuk terus fokus pada matlamat saya sebagai seorang pelajar. Saya mahu berjaya dalam pelajaran demi merealisasikan impian saya untuk bergelar pelajar pergigian yang cemerlang sekaligus membalas jasa serta membanggakan ibu bapa saya yang sentiasa menyokong dan percaya akan kebolehan saya.

Alhamdulillah dengan semangat, tekad, usaha, kesungguhan dan kepercayaan yang saya terapkan dalam diri saya, saya berjaya memperoleh anugerah dekan pada setiap tahun pengajian.

Saya amat bersyukur dan berterima kasih pada pihak Maipk dan ibu bapa saya khususnya di atas segala sumbangan dan sokongan sepanjang pengajian saya sehingga saya berjaya bergelar graduan pergigian di bumi Mesir yang penuh barakah ini.








.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.