LAWATAN KERJA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (MAIPk) KE PUSAT KOREKSIONAL BATU GAJAH
BATU GAJAH, 13 Oktober 2025 - Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pusat Koreksional Batu Gajah bagi meninjau pelaksanaan Program Latihan Keusahawanan Kulinari serta membincangkan cadangan penganjuran Majlis Perasmian Diraja.
Lawatan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman bin Md Salleh disambut oleh Timbalan Pengarah Penjara Negeri Perak, PKK Mohamed bin Ali bersama Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, PKP S. Tanabal a/l Socklingam.
Turut serta Ketua Unit Protokol dan Istiadat Negeri Perak, Azahari Effendy bin Abd Rahim, wakil Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Siti Zubaidah binti Zainon, dan Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Wan Maizura binti Haji Wan Zahari.
MAIPk amat berbesar hati atas keterbukaan pihak Pusat Koreksional Batu Gajah dalam menyediakan platform pemerkasaan diri kepada banduan melalui latihan kemahiran yang berstruktur. Usaha ini selari dengan komitmen MAIPk untuk memperkasa asnaf serta memberi peluang kedua kepada mereka yang memerlukan sokongan.
MAIPk percaya bahawa program ini bukan sahaja mampu melahirkan usahawan kulinari dalam kalangan peserta, malah berpotensi meningkatkan taraf ekonomi mereka selepas pembebasan kelak. Cadangan Majlis Perasmian Diraja juga dilihat sebagai simbol sokongan tertinggi terhadap inisiatif pemulihan dan pembangunan insan.





