SEJARAH TERCIPTA, 80 BELIA ASNAF KURSUS PEMBANTU PERAWATAN PESAKIT TAJAAN MAIPk DI IJN COLLEGE BANGKIT MEMBINA KERJAYA
MAIPk terus komited memperkasa golongan asnaf melalui pelaksanaan Program TVET yang memberi fokus kepada latihan kemahiran dan penempatan kerjaya, satu inisiatif berimpak tinggi yang kini mula menampakkan hasil nyata apabila para peserta berjaya menamatkan latihan dan melangkah ke alam pekerjaan.
MAIPk melalui Program TVET Asnaf membuktikan bahawa peluang yang tepat mampu mengubah kehidupan, apabila anak-anak asnaf kini berdiri megah sebagai graduan berkemahiran dan telah ditempatkan dalam kerjaya masing-masing.
Hari ini menjadi saksi detik penuh makna dalam Majlis Konvokesyen Peserta kursus Pembantu Perawatan Pesakit MAIPk di IJN College, apabila seramai 80 belia asnaf daripada peserta tahun 2024 dan 2025 diraikan setelah berjaya menamatkan latihan intensif selama 3 bulan sebagai Patient Care Assistant (PCA).
Mereka bukan sekadar graduan, mereka adalah anak-anak asnaf yang bangkit mengubah nasib, melangkah keluar daripada kesempitan hidup menuju kehidupan yang lebih bermaruah.
Hasil latihan dan bimbingan berterusan, graduan PCA MAIPk kini telah ditempatkan di institusi kesihatan terkemuka seperti Institut Jantung Negara, Ara Damansara Specialist Hospital, Hospital Fatimah, Ipoh dan yang terbaharu akan ditempatkan kerjaya di Columbia Hospital Cheras. Mereka kini mempunyai masa depan yang cerah dan mampu merubah kehidupan keluarga kea rah yang lebih baik.
Inilah bukti bahawa zakat yang diurus dengan berkesan mampu membina masa depan, bukan hanya memberi bantuan sementara, tetapi melahirkan insan berkemahiran, berdikari dan mampu membantu keluarga.
MAIPk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelatih dan semoga ianya membuka jalan yang luas untuk lebih berjaya di masa hadapan.










