SULTAN PERAK RASMI SMAR NURUL HIDAYAH, KAMPUNG KENANG, SUNGAI SIPUT
SUNGAI SIPUT, 30 Jun 2026 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput (U). Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin bertitah, SMAR Nurul Hidayah merupakan SMAR Orang Asli pertama di Malaysia telah ditubuhkan pada 11 Februari 1994. Penubuhan sekolah ini merupakan mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak.
Titah Sultan Nazrin lagi, sekolah berkenaan adalah manifestasi komitmen MAIPk dalam membantu merealisasikan wawasan negara memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang keturunan atau geografi, mempunyai peluang sama untuk menimba ilmu, membina masa hadapan serta memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.
SMAR Nurul Hidayah bermula dalam keadaan serba daif di sebuah surau kampung dengan pembiayaan hasil sumbangan wakaf dan semangat gotong-royong masyarakat. “Dengan dukungan MAIPk bersama Jabatan Agama Islam Perak serta sokongan padu masyarakat Orang Asli, institusi ini terus berkembang sehingga terbinanya sebuah kompleks pendidikan selesa dan tersusun. Ia menjadi mercu tanda pembangunan dan pembaharuan pendidikan yang lebih dinamik serta berdaya saing,” titah baginda.
Melalui dana zakat, MAIPk telah menyumbang pembangunan bagi pembinaan kompleks baharu sekolah yang merangkumi blok akademik, asrama, surau dan kantin dengan kos keseluruhan berjumlah RM4.2 juta.
Selain pembangunan fizikal, MAIPk turut menyalurkan pembiayaan tahunan sebanyak RM2.5 juta bagi tahun 2026 untuk menampung keperluan operasi sekolah meliputi kebajikan pelajar, pembayaran gaji guru dan kakitangan, pelaksanaan program pendidikan, makanan pelajar, kebajikan asrama dan penyelenggaraan.
Turut hadir ialah YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, Yang Dipertua MAIPk; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; SS Dato’ Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak; YBhg. SS Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak serta YBrs. Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk.










