MAIPk BANTU MANGSA KEBAKARAN DI BAGAN DATUK
BAGAN DATUK – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpaan yang bersesuaian dengan nasib yang menimpa keluarga Encik Mohd Azman bin Ngamil, 41 tahun dan isteri Puan Hawa binti Arun, 38 tahun yang telah kehilangan rumah tempat berteduh dalam sebuah kejadian kebakaran di Kampung Batu 10, Mukim Teluk Bharu, Hutan Melintang, Perak pada 21 Jun 2026 yang lalu.
Rumah pusaka yang didiami pasangan ini dan kedua ibu bapa mereka yang sakit telah hangus dijilat api.
Rumah pusaka yang didiami pasangan ini dan kedua ibu bapa mereka yang sakit telah hangus dijilat api.
Walaupun tiada kemalangan jiwa yang berlaku tetapi musibah ini telah memberikan kesan yang mendalam kepada seluruh keluarga kerana kehilangan rumah pusaka dan kerugian harta benda yang terpaksa ditanggung. Kini Encik Mohd Azman dan keluarga tinggal menyewa sementara di rumah sewa berhampiran pekan Hutan Melintang.
Prihatin terhadap kejadian yang menimpa mangsa, Pengurus Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Bagan Datuk, Cik Nor Najihah binti Mat Munon turun padang dalam menyantuni serta menyalurkan Bantuan Kecemasan Segera dan Bantuan Kotak Makanan kepada keluarga Puan Hawa.
Selain itu, pihak MAIPk akan membawa cadangan permohonan Bantuan Bencana dan Bantuan Sewa Rumah bagi Encik Mohd Azman sekeluarga untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah Bagan Datuk.
Tindakan ini diambil bagi memastikan mangsa yang ditimpa musibah mendapat bantuan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat. Semoga usaha ini dapat meringankan beban yang dipikul oleh mangsa serta keluarganya yang masih trauma, sekali gus memberi sinar dan kekuatan untuk mereka bangkit serta membina semula kehidupan dengan lebih baik.










