SEBIDANG TANAH, SEBUAH LEGASI, WAKAF DEMI KELANGSUNGAN PENDIDIKAN AL-QURAN
Alhamdulillah, Bahagian Wakaf, Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyampaikan Sijil Penghargaan Pewakaf kepada Puan Noriah binti Othman sebagai tanda penghargaan atas keikhlasan beliau mewakafkan harta demi kemaslahatan umat Islam.
Puan Noriah telah mewakafkan sebidang tanah bagi tujuan Wakaf Saraan Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin, Ipoh, Perak. Pewakafan ini diharapkan dapat menyokong kelangsungan institusi pendidikan berkenaan dalam usaha memperkasa pendidikan serta melahirkan generasi yang mencintai dan mendalami al-Quran.
Semoga wakaf yang disempurnakan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya, sekali gus menjadi amal jariah yang berpanjangan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi yang akan datang.
Semoga setiap manfaat yang lahir daripada wakaf ini menjadi asbab pahala yang terus mengalir buat pewakaf, sebagaimana ilmu yang terus berkembang dan diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.








