• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Profil
  • Piagam Pelanggan
  • Berita Maipk

AMANAH ZAKAT, SINAR BUAT MEREKA YANG DIUJI

KUALA KANGSAR – Di sebalik ujian kesihatan yang dilalui, bantuan MAIPk menjadi sinar yang meringankan beban penerima dan keluarga, khususnya mereka yang memerlukan keperluan perubatan secara berterusan.

Pengurus Besar MAIPk Zon Timur, Encik Zul-Azri bin Hosaini turun padang menyantuni serta menyerahkan bantuan perubatan kepada empat penerima di sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Antara penerima ialah Encik Muhammad Ariq Aqasha binti Muhammad Worksha dari Kota Lama Kanan yang menerima bantuan perubatan kali ketiga berikutan penyakit Duchenne Muscular Dystrophy. Bantuan susu khas berjumlah RM1,581 bagi tempoh enam bulan disalurkan bagi membantu keperluan pemakanan penerima.

Puan Noraani binti Abdul Samad dari RPA Rimba Panjang, Sungai Siput pula menerima bantuan perubatan kali kelapan berupa 47 pek Abbott Nephro HP 220ml bernilai RM1,969.30 bagi tempoh enam bulan.

Sementara itu, Encik Mohd Halim bin Abd Wahab dari Kampung Berala Kati menerima bantuan perubatan kali keempat bernilai RM6,859.60, melibatkan lampin pakai buang, susu khas dan tiub pemakanan berikutan keadaan beliau yang terlantar akibat strok.

Puan Norazatonlaini binti Abdan, juga dari Kampung Berala Kati, menerima bantuan perubatan buat kali pertama berupa 60 pek lampin pakai buang bernilai RM1,680 berikutan keterbatasan pergerakan selepas menjalani amputasi kaki kanan.

Bantuan ini diharapkan dapat memberi sedikit ruang dan keselesaan kepada penerima serta keluarga dalam menghadapi ujian, di samping menjadi bukti bahawa amanah zakat terus hadir sebagai sinar buat mereka yang memerlukan.

Semoga semua penerima dikurniakan kesembuhan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian.







RM42,845 AGIHAN ZAKAT BANTU RAWATAN, SOKONG KEHIDUPAN

BATU GAJAH, 1 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Batu Gajah terus menyantuni keperluan penerima melalui penyerahan bantuan perubatan dan modal berjumlah RM42,845.00. Bantuan yang disampaikan merangkumi:

• Mesin penetas telur bernilai RM3,700.00.
• Bekalan lampin pakai buang, susu dan alat latihan berjalan (walker trainer) bernilai RM3,923.00.
• Bekalan suntikan dupilumab bagi rawatan ekzema bernilai RM32,472.00.
• Alat bantu pendengaran bernilai RM2,750.00.

Agihan zakat ini membantu meringankan beban kos rawatan dan penjagaan, menyokong keperluan harian serta meningkatkan kualiti hidup penerima. Bantuan modal turut membuka ruang untuk penerima mengusahakan sumber pendapatan. Turut menziarahi dan menyantuni penerima bantuan, Pengurus MAIPk Cawangan Batu Gajah, Norhidayu binti Sakdon.

Terima kasih kepada para pembayar zakat. Zakat anda membantu penerima mendapatkan rawatan yang diperlukan, meringankan beban keluarga dan memberi harapan untuk menjalani kehidupan dengan lebih selesa.





DARI ASNAF KE ALAM KERJAYA: 30 PESERTA BINA MASA DEPAN BERSAMA MAIPk–IJN

IPOH, 7 September 2026 - Alhamdulillah, seramai 30 orang peserta Program Latihan Kemahiran Asnaf iaitu Kursus Pembantu Perawatan Pesakit diraikan dalam Majlis Pelepasan Peserta di IJN University College.

Kerjasama strategik antara MAIPk dan IJN University College ini memasuki tahun ketiga, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membuka peluang pendidikan dan kemahiran kepada golongan asnaf.

Lebih membanggakan, program ini turut menyediakan laluan penempatan kerjaya di IJN Hospital kepada peserta selepas tamat latihan.
Semoga 30 peserta ini memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan seterusnya melangkah ke alam pekerjaan sebagai insan yang berkemahiran, berdikari serta mampu mengubah kehidupan diri dan keluarga.

Inilah makna sebenar memperkasa asnaf, bukan sekadar membantu untuk hari ini, tetapi membuka jalan menuju masa depan.
MAIPk terus komited memperluas peluang, memperkasa kemahiran dan membina masa depan golongan asnaf.





MAIPk SANTUNI DAN SALUR BANTUAN PERUBATAN KEPADA EMPAT PENERIMA DI MUALLIM

MUALLIM – Pengurus MAIPk Cawangan Muallim, Mohd Rosmini bin Mohd Rosli, turun padang menyantuni serta menyalurkan bantuan perubatan kepada empat penerima yang memerlukan di sekitar daerah Muallim.

Penerima bantuan pertama ialah Cik Najihah binti Mohd Jan, 20, dari Bandar Baru Behrang 2020, Tanjong Malim, yang menghidap penyakit talasemia dan memerlukan keperluan perubatan bagi menyokong rawatan serta penjagaannya. Prihatin terhadap keperluan beliau, MAIPk telah menyalurkan bantuan berbentuk bekalan set tiub dan jarum untuk rawatan talasemia serta syringe driver dengan nilai keseluruhan RM4,900.00.

Sementara itu, Encik Drani bin Karim, 77 tahun, dari Kampung Pasir, Slim Village yang terlantar akibat patah tulang peha kanan selepas terlibat dengan kemalangan menerima bantuan bernilai RM2,872.80. Bantuan yang disalurkan itu meliputi bekalan lampin pakai buang serta keperluan lain bagi tempoh enam bulan.

Seterusnya, Puan Rohani binti Yahya, 68 tahun, dari Kampung Chalas, yang terlantar akibat mempunyai masalah kesihatan saraf dari paras pinggang ke kaki. Beliau tidak dapat menguruskan diri dan dijaga sepenuhnya oleh suami, beliau telah menerima bantuan bernilai RM2,527.20. Bantuan yang disalurkan itu meliputi bekalan lampin pakai buang serta ubat pencair darah bagi tempoh enam bulan.

Manakala, adik Nurul Aina Syakira binti Abdullah, 15 tahun, dari Kampung Pasir Slim Village, menerima bantuan berbentuk alat bantu pendengaran untuk telinga kiri serta kanan yang bernilai keseluruhan RM5,200.00. Beliau mempunyai masalah kehilangan pendengaran yang memerlukan penggunaan alat bantu pendengaran bagi membantu meningkatkan keupayaan pendengaran serta menyokong aktiviti harian dan pembelajaran.

Semoga bantuan disalurkan membantu meringankan beban penerima dan keluarga, di samping memastikan keperluan perubatan yang diperlukan dapat disediakan secara berterusan serta meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung kos keperluan tersebut.









MAIPk SALUR SKIM BANTUAN MODAL, BANTU ASNAF PERKASA SUMBER PENDAPATAN

IPOH – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus memperkasa golongan asnaf menerusi penyaluran Skim Bantuan Modal bagi membantu penerima meningkatkan kapasiti perniagaan serta menjana pendapatan yang lebih baik. Bantuan tersebut melibatkan empat penerima yang menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi, dengan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM12,033.80.

Penerima pertama, Encik Muhammad Ilyas bin Zulkepli, menerima bantuan modal RM4,994.00 bagi mendapatkan peralatan perniagaan untuk aktiviti baik pulih perabot menerusi perniagaan AM Legacy Global Business di Ipoh.

Sementara itu, Encik Shamsuddin bin Kamarudin menerima bantuan modal berjumlah RM1,099.90 bagi pembelian sebuah mesin potong rumput baharu. Bantuan ini amat penting memandangkan aktiviti mengambil upah memotong rumput merupakan sumber pendapatan utamanya.

Penerima ketiga, Muhamad Zaini bin Abdul Hafizh, pula menerima bantuan modal dengan RM3,899.90 bagi pembelian generator untuk menyokong operasi perniagaan makanan dan minuman yang dijalankan di kawasan Tasek. Beliau menjalankan perniagaan Z&I Versatile Shop yang menawarkan makanan western dan minuman. Generator berkenaan diperlukan bagi membantu kelancaran operasi perniagaan.

Manakala Mohamad Faizul bin Mohd Anuar menerima bantuan modal sebanyak RM2,040 bagi mendapatkan peralatan perniagaan untuk membantu mengembangkan perniagaan ayam gunting yang telah dijalankan sejak tahun 2023.

Bantuan telah disampaikan oleh Pengurus MAIPk Cawangan Ipoh, Encik Fairuz bin Zahri. Penyaluran Skim Bantuan Modal ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam membantu golongan asnaf beralih kepada kehidupan yang lebih berdikari melalui pengukuhan aktiviti ekonomi dan keusahawanan sekali gus meningkatkan potensi pendapatan serta memperbaiki taraf kehidupan keluarga.







.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.