MAIPk PERKASA MOBILITI SOSIOEKONOMI ASNAF, TAJA 120 KETUA ISI RUMAH DAN BELIA IKUTI LATIHAN PEMANDUAN LORI PROFESIONAL
IPOH, 9 JULAI 2026 – Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) terus memperkukuh agenda pemerkasaan sosioekonomi asnaf menerusi penajaan kepada 120 orang ketua isi rumah dan belia asnaf untuk mengikuti Program Latihan Kemahiran Asnaf TVET MAIPk dalam bidang Pemanduan Lori Bersendi dan Lori Kejur (Kelas E).
Program ini merupakan antara inisiatif strategik MAIPk dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri logistik negara. Melalui latihan komprehensif serta pensijilan profesional yang diiktiraf, para peserta berpeluang meningkatkan kebolehpasaran, memperoleh peluang pekerjaan yang lebih berkualiti serta menjana pendapatan yang mampan.
Majlis Pelepasan Peserta telah diadakan di Global City Driving Centre, Chemor yang merupakan pusat latihan memandu dilantik oleh MAIPk. Program turut diserikan dengan sesi taklimat serta perkongsian inspirasi yang disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Encik Amirudin bin Osman, bagi menyuntik semangat dan motivasi kepada para peserta sebelum memulakan latihan.
MAIPk mendoakan agar seluruh peserta berjaya menamatkan latihan, memperoleh kelayakan profesional yang ditetapkan dan seterusnya membina kerjaya yang cemerlang dalam industri logistik.










