Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan MAIPk 2025
IPOH, 28 November 2025 - Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini meraikan kejayaan para pelajar cemerlang melalui Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2025. Program ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan MAIPk, Encik Mohd Said bin Mohd Rais, seterusnya menyampaikan sumbangan dan tajaan kepada para pelajar.
Sebagai tanda penghargaan, MAIPk telah menyumbangkan hadiah komputer riba kepada pelajar yang memperoleh keputusan 8A hingga 12A dalam SPM 2024. Seramai 76 orang daripada 315 pelajar tajaan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal dipilih menerima hadiah ini melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM430,680.00.
Selain itu, MAIPk turut menaja 26 orang mahasiswa cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah melalui Skim Bantuan Dermasiswa Bidang Profesional Dalam Negara. Bagi tahun 2025, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM1,667,400.00, merangkumi yuran pengajian, penginapan dan elaun sara hidup RM600 sebulan sehingga tamat pengajian.












