Kadar Bantuan Dermasiswa Luar Negara (Indonesia) Dinaikkan
Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) telah berlepas ke Acheh, Indonesia sempena lawatan deligasi MAIPk ke Acheh yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr. Amiruddin Bin Muhamed bersama Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat, Ustaz Bakri Bin Lee dan Pengurus Unit Pembangunan Asnaf, Ustaz Ahamad Muzammil Bin Arbain.
Lawatan tersebut yang berlangsung selama 3 hari, memberi peluang kepada pihak MAIPk beramah mesra dengan 90 orang pelajar Perak yang menuntut di UIN Ar Raniry, Aceh Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr. Amiruddin bin Muhamed dalam ucapannya telah mengumumkan kenaikan kadar Dermasiswa daripada dana zakat kepada pelajar Perak yang menuntut di Indonesia di bawah asnaf Fisabilillah bermula tahun 2017 iaitu sebanyak RM 5,500.00 seorang bagi tempoh setahun. Dalam ucapan beliau juga, bagi melayakkan seseorang pelajar menerima Dermasiswa tersebut, pelajar haruslah memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh pihak MAIPk.
Pihak MAIPk juga telah membuat perbincangan di peringkat dalaman sebagai usaha dalam menyediakan kemudahan bagi para pelajar membuat permohonan. Insya Allah, kemudahan ini akan lebih sistematik dengan menggunakan sistem permohonan secara online bagi memudahkan para pelajar membuat permohonan Skim Bantuan Dermasiswa Luar Negara ini.