Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa dan Khutbah Jumaat Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55
IPOH, 15 Mei 2026 – Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa dan Khutbah Jumaat sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 telah berlangsung di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak).
Program yang bermula seawal jam 10.20 pagi dimulakan dengan Program Motivasi Kerohanian Murid anjuran Jabatan Pendidikan yang disertai kira-kira 2,000 pelajar serta warga pendidik.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Tuan Haji Abd Farid bin Haji Salleh. Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad.
Seterusnya, majlis diserikan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menunaikan solat Jumaat. Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Khutbah Jumaat bertajuk “Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera” telah disampaikan oleh Datuk Dr. Mohd Azam mewakili warga pendidik dan guru, manakala solat Jumaat dipimpin oleh Tuan Haji Abd Farid. Seusai solat Jumaat, Sultan Nazrin berkenan bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat meninggalkan majlis.










